h1

Mampukah engkau membeli syurga?

Julai 30, 2008

                Pada suatu hari, Rasulullah s.a.w tertawa sendirian. Saidina Umar pun bertanyakan hal yang menyebabkan Rasulullah s.a.w begitu gembira. Lalu Rasulullah s.a.w menjawab, “Ada dua orang umatku memperhitungkan hak-haknya. Yang seorang itu berkata, “Ya Allah, berikanlah hak-hakku yang dizalimi orang itu.” Berfirman Allah s.w.t kepada yang seorang lagi, “Berikanlah haknya yang telah engkau zalimi itu!” Lantas menjawab pula orang yang dituntut itu dengan sedih, “Ya Allah, sesungguhnya kebaikanku telah habis semuanya, maka tiada apa yang dapat aku berikan kepada saudara ini.”

            Lelaki yang menuntut pula berkata, “Oleh itu engkau mesti menanggung semua dosaku sebagai ganti rugi.” Justeru itu, air mata baginda mengalir menahan kesedihan. Baginda meneruskan sabdanya, “Kemudian Allah berfirman kepada orang yang menuntut itu, “Angkatlah kepalamu dan lihatlah syurga.” Si penuntut itu serta-merta mengangkat kepalanya lalu terbungkam dengan keindahan syurga tersebut dan bertanya, “Adakah syurga itu untuk para nabi atau para syuhada?” Allah berfirman, “Itu untuk sesiapa sahaja yang sanggup membayarnya!” “Ya Allah, siapakah yang mempunyai harta yang sangat banyak cukup untuk membeli syurga yang sangat hebat dan indah itu?” Allah menjawab, “Engkau juga dapat membelinya dengan mengampuni saudara yang telah menzalimimu itu.”

            Lelaki itu terus berkata, “Kalau begitu, aku sanggup mengampunkannya!!” Lalu firman Allah, “Pimpinilah saudaramu itu bersama-sama ke dalam syurga itu.” Rasulullah s.a.w bersabda, “Berbuat baiklah kepada saudaramu sesama Muslim.”  

Tinggalkan Komen