
Siapakah anak yang tak berguna di dunia???
September 3, 2008Seorang ibu terlalu merindukan anaknya yang sangat berjauhan darinya. Setiap hari, orang tua itu bertanyakan anaknya untuk pulang ke rumah. Tetapi anaknya tidak dapat pulang untuk beberapa tahun kerana kesibukan kerja. Mujur anaknya yang kedua tiap-tiap tahun pulang ke pangkuan ibunya. Anaknya itu sentiasa mengubat hati ibunya dan membalas jasanya. Namun, anak yang jauh itu tidak berbuat apa-apa pun untuk membalas jasa ibunya. Walaupun begitu, ibunya sentiasa mengharapkan dia pulang.
Pada suatu hari, sudah tiba masa ibunya menghembuskan nafas yang terakhir sebelum sempat menemui anak yang berjauhan itu. Sebelum itu, ibunya sempat juga tersenyum melihat anak yang kedua itu di sampingnya yang melihatnya yang sedang nazak. Dia juga bersedih anak yang jauh itu tidak ada bersama kerana kesibukan bekerja atau pun berbagai-bagai lagi alasan yang diberikan.
Sesudah menghembuskan nafasnya yang terakhir, roh si ibu itu mencari tiga amalan yang ingin dibawanya. Ilmu…dia sudah jumpa. Kemudian, amalan sedekah dan jariah…juga sudah jumpa. Akhir sekali, doa anak-anak untuk ibu bapa…dia mengambil masa yang lama untuk mencari doa anak yang keduanya. Dia pelik! Kenapa? Kenapa? Mengapa??? Dia tertanya-tanya.. Masih tidak jumpa doa anaknya yang kedua itu. Mengapa tiada doa anak itu untuknya. Dia mula menjadi gelisah. Dia sangka akan menjumpai doa anaknya yang mengunung-ganang atau lebih dari itu kerana anak itulah yang sentiasa mendengar kata-katanya dan berbuat baik kepadanya.
Setelah dikecewakan oleh ketiadaan doa-doa anaknya itu, dia telah berputus asa. Kali ini dia akan mencari doa anak sulungnya yang tidak berada di sampingnya selama beberapa tahun. Dia tidak terlalu berharap akan menemui doa anak sulungnya kerana dia menganggap anaknya itu terlalu sibuk bekerja dan jauh sehingga lupa untuk mendoakannya. Tidak beberapa lama kemudian, dia sangat terkejut kerana telah menemui doa-doa anak sulung untuknya yang tidak dapat digambarkan dengan kata-kata betapa banyak dan besarnya doa-doa untuk orang tua itu. Sedarlah ibunya walau sesibuk mana pun dia bekerja, seberapa lama pun dia tidak berjumpa dengan ibunya, sebanyak mana pun dia tidak membalas jasa ibunya, tidak mendengar kata-kata ibunya, dia tetap tidak lupa untuk mendoakan ibunya setiap hari, setiap masa, sewaktu dia BEKERJA dan tiap kali selepas SOLAT.
Sebagai seorang anak, kita hendaklah sentiasa mendoakan ibu bapa kita sehingga akhir hayat kita. Jika kita tidak mendoakan mereka, kita seperti hidup di dunia dalam keadaan yang sia-sia dan tidak ada fungsi di dunia ini. Cuba bayangkan kita menjadi seorang ibu atau bapa dan mempunyai anak yang langsung tidak mendoakan kita. Apakah perasaan kita? Apakah yang akan berlaku pada kita di akhirat? Doa anak-anaklah yang membantu kita di akhirat kelak selain ilmu dan amalan jariah. Jasa kita terhadap ibu bapa di dunia sahaja tidak mencukupi. Perkara ini tidak menjadikan kita sebagai anak yang soleh. Anak yang soleh ialah anak yang berbuat baik dan membalas jasa ibu bapa di dunia dan AKHIRAT…